Blogger Backgrounds

Rabu, 28 November 2012

LIABILITI DALAM HARTA PUSAKA



1. Menguruskan jenazah

Apabila seseorang muslim meninggal dunia, perkara yang pertama sekali yang perlu dilaksanakan dengan segera ialah menguruskan jenazahnya. Kos pengurusan jenazah iaitu bermula daripada memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan hingga menguburkannya, semuanya itu dibayar dengan harta si mati.

Perbelanjaan pengurusan jenazah itu termasuklah kos membeli kain kafan dan perkakas yang berkaitan dengannya seperti kapur, kayu gaharu, kapas dan sebagainya.Sementara bagi upah memandikan, mengusungkan dan menggali kubur diberikan kepada mereka yang mahu diberikan upah. Adapun mereka yang tidak mahu menerima upah maka tidak boleh diberikan kepada mereka hadiah atau sedekah dengan menggunakan harta si mati.
  
2. Melangsaikan segala hutang si mati

Baki harta setelah dibayar kos pengurusan jenazah digunakan untuk melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai hutang. (Surah al-Nisa' : 11) 


Hutang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. Kedua-duanya wajib dibayar dengan harta si mati.

Hutang dengan Allah meliputi hutang beliau semasa hidup seperti zakat, kifarah, nazar serta kefardhuan ibadat haji yang tidak ditunaikan semasa hidup sekiranya beliau seorang yang mampu.
Berkaitan dengan hutang dengan Allah, setengah ulamak berpendapat hutang tersebut tidak perlu dibayar dan urusannya terserah kepada Allah. Manakala sebahagian yang lain mewajibkannya supaya dibayar

Manakala hutang dengan manusia seumpama pinjaman bank, gadaian dan sebagainya.

3. Menunaikan wasiat

Wajib bagi kita menunaikan wasiat si mati apabila dia meninggalkan wasiat. Ahli waris tidak berhak untuk menghalang daripada menunaikannya.
Wasiat si mati boleh dilaksanakan dengan beberapa syarat iaitu :-

a) Tidak diwasiatkan harta kepada ahli waris. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam :

عن أبى أُمامةَ قال سمعت النبى صلى الله عليه وآله و سلم يقول ( إِنَّ اللهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِى حَقٍّ حَقَّهُ فَلا وَصِيَّةَ لِوارِثٍ)

Daripada Abi Umamah berkata, “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris” (Hadits Riwayat Abu Daud)
Jika seseorang mewasiatkan kepada ahli warisnya, wasiat tersebut boleh ditunaikan dengan syarat perlu mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain.

b) Tidak melebihi 1/3

Wasiat si mati mesti ditunaikan dengan syarat nilai yang keluarkan itu tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati iaitu setelah ditolak dengan kos pengurusan jenazah dan melunaskan hutangnya.
Ingat, bukan yang dimaksudkan dengan 1/3 daripada harta si mati yang asal. Jika wasiat si mati lebih daripada 1/3, maka yang diberikan hanya 1/3 daripada harta.

و عن سَعْد بن أبى وَقَّاص قال ( قُلْتُ يا رَسولُ اللهِ أَنَا ذُو مَالٍ وَ لا يَرِثنُِى إلا ابْنَةٌ لِى واحِدَةٌ. أَفَأَتَصَدَّقَ بِثُلُثَيْ مَالِى؟ قَالَ لا. قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقَ بِشَطْرِهِ؟ قَالَ لا. قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقَ بِثُلُثِهِ؟ قَالَ الثُّلُثُ وَ الثُّلُثُ كَثِيْرٌ. إِنَّكَ إِنْ تَذَرْ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاس) متفق عليه

Daripada Sa’ad bin Waqqas berkata “Aku berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai harta dan tiada yang mewarisiku melainkan seorang anak perempuanku. Adakah boleh aku menyedekahkan 2/3 daripada hartaku. Baginda menjawab : Tidak. Aku berkata : Adakah boleh aku menyedekahkan 1/2 daripadanya. Baginda menjawab : Tidak. Aku berkata : Adakah aku boleh menyedekahkan 1/3 daripadanya. Baginda menjawab :1/3, 1/3 adalah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu yang kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan fakir yang meminta-minta kepada manusia.”
Jika si mati telah mewasiatkan hartanya melebihi 1/3 maka wasiat tersebut tidak boleh ditunaikan melainkan setelah mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain.

c) Tidak mewasiatkan kepada suatu yang haram seperti membina kasino dan kilang arak. Wasiatnya akan terbatal jika dia mewasiatkan kepada perkara tersebut.

4.  Pembahagian harta 

Pembahagian harta dibuat selepas diselesaikan ketiga-tiga urusan di atas kepada ahli waris yang berhak menerimanya.


1 ulasan: